Pengerusinya, Ang Leng Kiat berkata, pihaknya dengan kerjasama Persatuan Penjaja Setia Alam (PPSA) memulakan aktiviti pasar malam di Setia Alam yang lebih dikenali sebagai Bazaria Mega pada 18 April lalu dengan kelulusan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). Katanya, MPP Zon 21 mahu mencipta kelainan untuk Bazaria Mega anjurannya dengan menekankan konsep harmoni penduduk berbilang bangsa dan ia dimulakan dengan menggalakkan peniaga serta penjaja berbilang kaum membuka gerai jualan. “Walaupun Setia Alam berada dalam daerah Shah Alam namun kami lebih hampir dengan masyarakat di Klang terutamanya di Meru, Bandar Baru Bukit Raja dan juga Kapar. Oleh itu konsep harmoni ini kami mahu kembangkan bukan sahaja kepada penduduk di Setia Alam malah penduduk di kawasan berkenaan. “Tapak pasar malam yang terletak berhampiran Jalan Meru juga memudahkan orang ramai dari kawasan Klang untuk mengunjungi Bazaria Mega ini dengan menggunakan dua jalan masuk selain menyediakan kemudahan tempat meletak kenderaan yang banyak,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Majlis MBSA berkata, sejak enam minggu Bazaria Mega beroperasi di hadapan deretan bangunan pusat perniagaan Setia Alam setiap Sabtu bermula jam 4 petang hingga 11 malam, jumlah peniaga dan pengunjung semakin bertambah. “Buat masa ini lebih 500 peniaga menjalankan pelbagai jenis perniagaan dan dianggarkan antara enam hingga tujuh ribu pengunjung datang ke pasar malam berkenaan. “Kita mensasarkan jumlah petak perniagaan bertambah sehingga seribu petak dan seterusnya menjadikan Bazaria Mega sebagai salah satu pasar malam terpanjang dan terbesar di negeri ini,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua PPSA, Jasni Mahmud berkata, pasar malam ini boleh dijadikan satu lambang perpaduan dalam mengamalkan cara hidup harmoni berbilang kaum kerana ia melibatkan pelbagai bangsa sama ada peniaga mahu pun pengunjungnya. “Kita mahukan jadikan Setia Alam sebagai satu pusat perpaduan dan pada masa yang sama menggalakkan orang ramai berniaga terutamanya dalam keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan sekarang. “Kita mahu buka satu ruang yang membolehkan orang ramai terutamanya bagi mereka yang kurang berkemampuan, ibu tunggal, suri rumah dan juga orang kurang upaya (OKU) menjalankan apa sahaja jenis perniagaan untuk menambah pendapatan,” katanya. Menurutnya, PPSA juga menekankan hal keselamatan di pasar malam berkenaan di mana setiap minggu pihaknya mendapat kerjasama lapan anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dari Platun 0171 yang sentiasa mengawasi keadaan di situ selain pemantauan anggota polis dari Balai Polis Setia Alam.